Cikgu Diela

Seorang wanita (ada ke lelaki nama diela?). Seorang isteri (kepada hanya seorang suami). Seorang guru bimbingan dan kaunseling (kepada hampir 900 orang anak murid). Seorang bakal ibu (yang masih tak tau bila nak bertukar status).

Seorang anak kelahiran bumi Kluang, Johor. Mula bersekolah di Tadika Kemas, Taman Indah Jaya 3, Kluang seawal usia 6 tahun. Menyambung persekolahan di Sek. Keb. Kg. Melayu, Kluang dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Berjaya memperolehi keputusan yang agak cemerlang semasa UPSR (cewah!) dan mendapat tawaran untuk belajar di Sekolah Tinggi Kluang (sekolah yang ramai orang dengki. huh!). Mula menunjukkan belang kerana seringkali dijemput untuk ke Bilik Guru Disiplin sekolah hinggakan hubungan yang terjalin dengan Guru Disiplin tersangatlah erat. Bagai aur dengan tebing (sesuai tak?).


Akibat belang yang tidak berkesudahan, sila tepuk dahi semasa ambil keputusan SPM kerana tersangatlah 'cantik' keputusan tersebut. Apa nak buat. Nasi dah jadi bubur. (Padan muka kau!). Oh, tidak mengapa. Jalan yang berliku tetap juga ditempuhi dengan menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 (masa ni siapa yang masuk Tingkatan 6 dipandang sebelah mata je). Selama 2 tahun mem-pulun belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya usaha terbalas juga. Dengan berbekalkan CGPA 3.5, berjaya pula melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris a.k.a UPSI dan ada juga yang menggelarnya Universiti Pertemuan Suami Isteri (patut ke?)


Awalnya niat di hati bukanlah untuk menjadi seorang guru. Namun, berkat hasutan dan pengaruhan bonda tercinta, akhirnya terjebak juga. Berjaya menghabiskan pengajian selama 4 tahun di UPSI di mana semasa semester 3 telah terjumpa dengan kekasih hati a.k.a encik suami (awwww!!). Percintaan on and off selama beberapa tahun itu akhirnya ke jinjang pelamin (memang patutlah digelar Universiti Pertemuan Suami Isteri. huh!).


Mula di-posting-kan di SMK Chanis, Muadzam Shah, Rompin. Hanya sempat 4 bulan berkhidmat di situ sebelum berpindah ke SMK Sungai Koyan, Kuala Lipis kerana mengikut suami tercinta. Kini setelah campur tolak darab bahagi, telah berkhidmat sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling selama hampir 3 tahun. Dan sedang merancang untuk berpindah sekolah lagi. Bukan ke jauh perjalanan luas pemandangan? (macam tak kena.)


Sekian dulu coretan mengenai Cikgu Diela. Diharap tiada yang muntah hijau dan ketawa guling-guling semasa membaca warkah berlagu syahdu yang penuh skema ini. Kisah ini tiada kena-mengena sama ada yang hidup mahu pun yang telah tiada.
Related Posts with Thumbnails
 

Copyright © 2011 Reserved to :: MATA HATI JIWA ::
Design with love by CikBulat